Kelantan wujud kawasan industri baharu

in Edisi by

Nazran (dua dari kanan) mengiringi Ahmad menyampaikan Anugerah Pihak Berkuasa Tempatan Cemerlang kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, Rosnazli Amin (kanan).

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan bakal mewujudkan kawasan perindustrian seluas 400 hektar sekali gus menjadi industri baharu di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, fokus utama melibatkan industri pembuatan, semikonduktor dan teknologi hijau.

Menurut beliau, industri itu turut menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kedua negeri selepas sektor perkhidmatan.

“Perancangan pembangunan ini diharap dapat dilaksanakan mengikut tarikh yang sudah dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau memberitahu, pengecualian cukai selama 15 tahun daripada Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) juga antara harapan kerajaan negeri untuk menarik pelabur baharu dan pakar dalam kalangan anak tempatan untuk pulang berkhidmat di Kelantan.

Sementara itu, melalui ucapan sama, Nazran memaklumkan, status terkini Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan adalah sebanyak 44.76 peratus dan dijangka siap pada Disember 2026.

“Projek ini dijangka beroperasi pada Januari 2027 bagi Fasa 1 Kota Bharu ke ITT Gombak,” katanya.

Tambah beliau, projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan pembinaan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai pula menunjukkan kelewatan daripada jadual atau perancangan asal.

Justeru, beliau berharap masalah itu dapat diatasi dengan segera.