Nelayan didakwa cederakan isteri, rosakkan kerusi rumah

in Berita Semasa by

Jason Pereira (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan merosakkan harta, pada Khamis.

MELAKA – Seorang nelayan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas dua tuduhan mencederakan isteri dan merosakkan kerusi di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Ujong Pasir.

Jason Pereira, 51, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Sathi Anak Uncha, 48, dengan cara mencengkam bahagian muka dan menekan penumbuk di mulut mangsa.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta iaitu kerusi kayu bernilai RM50 hingga patah.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pangsapuri Pasir Puteri Jalan Day Perkampungan Portugis, Ujong Pasir di sini, pada jam 8.40 malam, 10 Januari 2022.

Pendakwaan dikendalikan, J Banusha yang mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati atau mengganggu saksi dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai seorang nelayan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM6,000 dan menetapkan 13 Februari depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.