Padah tunggang motosikal secara berbahaya

in Berita Semasa by

Lima rakan dihukum penjara sehari dan denda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana menunggang motosikal secara berbahaya di sebuah lebuh raya pada tahun lepas. – Gambar hiasan

SHAH ALAM – Lima rakan dihukum penjara sehari dan denda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana menunggang motosikal secara berbahaya di sebuah lebuh raya pada tahun lepas.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menjatuhkan hukuman berkenaan selepas kesemua lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.

Tertuduh ialah Wan Mohamad Faizal Wan Rosli, 25; Mohamad Arizal Jaamad, 28; Muhamad Danial Hakim M.Satar, 24; Pitri Ilias, 27; dan Wan Shahaidil Wan Muhamad, 26, turut diarahkan menjalani hukuman tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda selain hilang kelayakan memiliki lesen motosikal selama lima tahun.

Kesemua mereka didakwa menunggang motosikal secara berbahaya kepada orang awam di Kilometer 27.5 Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Shah Alam kira-kira pukul 1.50 pagi pada 7 Mei tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau maksimum RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Shalehhuddin Salam. – Bernama