Pemilik kelab komedi cabar keputusan DBKL batal lesen perniagaan

in Berita Semasa by

KUALA LUMPUR – Pemilik kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut dan tidak membenarkan mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di ibu kota buat selama-lamanya.

Mohamad Rizal dan Shankar selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada 24 November lepas dengan menamakan DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden pertama hingga kelima.

Peguam M. Pravin, yang mewakili kedua-dua pemohon ketika dihubungi pada Khamis mengesahkan memfailkan permohonan itu dan memaklumkan 26 Januari ini ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh.

Pemilik berkenaan memohon deklarasi bahawa keputusan dibuat DBKL dan Datuk Bandar Kuala Lumpur itu untuk membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut bertentangan dengan undang-undang selain memohon deklarasi keputusan oleh Jalaluddin dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk melarang mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya walaupun di bawah nama dan syarikat lain, adalah tidak berperlembagaan.

Selain itu, mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan yang dibuat itu atas alasan pemohon mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk berniaga dengan lesen sah di Kuala Lumpur.

Kedua-dua pemohon menerusi afidavit sokongan mereka berkata, pada 17 Ogos tahun lepas, Jalaluddin membuat kenyataan bahawa Jawatankuasa Perlesenan DBKL bermesyuarat dan memutuskan untuk membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut berkuat kuasa 30 Julai tahun sama selain pemilik-pemilik kelab komedi itu disenaraihitamkan untuk mendaftar lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selamanya.

Dakwa mereka, keputusan dibuat oleh responden-responden menjejaskan kedudukan serta kepentingan pemohon-pemohon secara teruk sebagai pemilik-pemilik kelab komedi tersebut dan sebagai usahawan selain mendakwa mereka tidak pernah menerima sebarang notis atau surat rasmi daripada pihak DBKL berhubung keputusan berkenaan.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hasniah Ab Razak menetapkan 20 Januari ini untuk keputusan representasi dikemukakan Mohamad Rizal bagi menggugurkan tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok dihadapinya.

Nor Hasniah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Christopher Enteri Mawan memaklumkan kepada mahkamah hari ini bahawa keputusan representasi itu, yang difailkan pada 12 Disember tahun lepas, masih belum diperoleh pihak pendakwaan.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan itu, Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – Bernama