Pengembara China 'hilang' selepas disahkan positif Covid-19

in Global by

Ujian PCR dilakukan ke atas pengembara dari China sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan. – Foto AFP

SEOUL – Cubaan seorang pengembara dari China mahu melarikan diri selepas disahkan positif Covid-19 gagal setelah pihak berkuasa Korea Selatan berjaya menjejakinya pada Khamis.

“Individu tersebut ditemui di sebuah hotel di Seoul. Kami merancang untuk melancarkan siasatan selepas tempoh pengasingan wajib ke atasnya tamat,” kata jurucakap polis sambil menambah lelaki itu bakal didakwa di bawah undang-undang kawalan penyakit.

Jika disabit bersalah, individu itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan atau denda berjumlah 10 juta won (RM34,600).

Lelaki tersebut dilaporkan ‘hilang’ ketika menunggu proses kemasukan ke pusat kuarantin setelah disahkan positif Covid-19 sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada Selasa.

Pihak berkuasa kemudiannya memasukkan nama individu itu ke dalam senarai orang dikehendaki.

Bermula Isnin, Seoul melaksanakan peraturan baharu terhadap pengembara dari Beijing yang memerlukan mereka menjalani ujian PCR apabila tiba di negara tersebut.

Golongan itu juga perlu menunjukkan keputusan negatif ujian PCR yang dilakukan dalam tempoh 48 jam atau ujian pantas antigen dalam tempoh 24 jam sebelum berlepas.

Data rasmi mendapati seramai 4,113 orang telah tiba dari China sejak Isnin lalu dan 239 daripada 917 keputusan ujian saringan atau 26.1 peratus adalah positif Covid-19.

Pada Rabu, 31.5 peratus daripada 327 individu yang menjalani ujian saringan juga menunjukkan keputusan positif. – AFP

Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!