Perkhidmatan LRT Kelana Jaya pulih

in Berita Semasa by

Laporan Sinar Harian pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya kembali pulih selepas kerja-kerja baik pulih akibat gangguan suis pada landasan selesai pada jam 6.42 petang Khamis.

Rapid Rail, dalam kenyataan, memaklumkan fungsi suis landasan itu adalah membolehkan tren menukar laluan dari satu landasan ke landasan bersebelahan.

“Pasukan teknikal telah dikerah sejurus gangguan berlaku bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih. Pihak operasi telah mengaktifkan pelan laluan alternatif dengan menggunakan satu landasan,” menurut kenyataan itu.

Kejadian pertama yang berlaku pada jam 4.24 petang Khamis menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KL Sentral dan Stesen Pasar Seni manakala gangguan kedua telah berlaku di antara Stesen Damai dan Stesen Dato’ Keramat pada jam 5.26 petang.

Menurut Rapid Rail, perkhidmatan bas perantara telah disediakan bagi menampung jumlah penumpang melibatkan enam stesen iaitu dari Stesen KLCC hingga Stesen Setiawangsa sebagai pengangkutan alternatif.

Kakitangan operasi dan Polis Bantuan juga telah ditempatkan di stesen bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.

Rapid Rail turut memohon maaf kepada penumpang yang mengalami kesulitan susulan kejadian itu. – Bernama