Polis siasat penunggang motosikal langgar lampu isyarat

in Berita Semasa by

Tangkap layar memaparkan tindakan penunggang motosikal melanggar lampu isyarat merah sebelum nyaris dirempuh sebuah lori di Kampung Acheh, Lumut pada Selasa. – Foto Ihsan pembaca

LUMUT – Polis telah mengenal pasti empat individu yang disyaki terlibat dalam kejadian langgar lampu isyarat merah di Kampung Acheh, Seri Manjung pada Selasa.

Video berdurasi 16 saat yang tular di media sosial memaparkan tindakan tiga penunggang motosikal melanggar lampu isyarat merah sebelum nyaris dirempuh sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, berdasarkan video tular itu, satu laporan telah dibuat polis bagi memulakan siasatan.

“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku sekitar jam 4.50 petang berhampiran sebuah kilang melibatkan seorang pemandu lori dan tiga penunggang motosikal.

“Keempat-empat individu berusia 18 hingga 30 tahun itu telah dikenal pasti akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 kerana tidak mematuhi peraturan lampu isyarat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-5572540.