Rekod Napoli lebur

in Sukan by

Dzeko menjulang Inter menerusi gol tunggal untuk menewaskan Napoli dalam saingan Serie A pada Khamis. – Foto EPA

INTER Milan melakar kejutan apabila memadam rekod 11 kemenangan Napoli dalam aksi Serie A pada Khamis.

Pemain sensasi, Edin Dzeko menjadi duri dalam daging kepada Napoli apabila meledak gol tunggal untuk mencatat kemenangan berharga.

Napoli dominan pada babak pertama, namun buntu tanpa jaringan.

Sebaliknya penyerang Inter, Dzeko memecah kebuntuan minit ke-56 apabila menyudahkan dengan baik hantaran Federico DiMarco.

Pengurus Inter, Simone Inzaghi melihat kemenangan itu menjadi penyuntik semangat buat para pemain.

“Inter menjadi pasukan pertama menewaskan Napoli yang juga pasukan tunggal dalam liga utama di Eropah yang belum tewas musim ini. Ia menaikkan semangat kami.

“Saya sangat bangga dengan pasukan ini kerana mereka membantu sesama sendiri di atas padang dan kami pamerkan prestasi mantap untuk penyokong,” ujar Inzaghi.

Napoli memimpin carta liga dengan 41 mata daripada 16 perlawanan.

Mereka mendahului pasukan di tangga kedua AC Milan dengan lima mata, manakala Inter di tangga keempat (33 mata).

Dalam aksi itu Inter berpeluang membuka tirai jaringan pada minit keempat, namun rembatan DiMarco sedikit tersasar selepas mendapat hantaran Romelu Lukaku.

Percubaan Lukaku turut tersasar selepas mendapat hantaran Nicolo Barella sejurus sebelum rehat.

“Perlawanan mempunyai detik berbeza. Menuju rehat kami lebih mengasak dan sepatutnya dapat tiga gol,” kata Inzaghi.

Napoli mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-90 apabila rembatan Giacomo Raspadori dalam kotak penalti diselamatkan penjaga gol, Andre Onana.