'Tiada permit percuma, tapi MBSJ sedia ruang niaga'

in Edisi Selangor KL by

MBSJ akan memperbanyak ruang niaga kepada peniaga kecil dan penjaja. – Gambar hiasan (Gambar kecil; Johary)

SUBANG JAYA – Tiada permit percuma, namun Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan membantu penjaja menjalankan aktiviti perniagaan dengan memperbanyak ruang niaga, kata Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama di kawasan bandar menyediakan kemudahan selesa kepada penjaja atau peniaga kecil agar mereka dapat menjalankan perniagaan secara kondusif.

Johary berkata, MBSJ menyokong saranan berkenaan dan telah menyediakan berbagai inisiatif serta kemudahan kepada golongan tersebut antaranya cadangan pelaksanaan festival makanan dan tambahan lokasi bazar Ramadan pada tahun ini.

“Semasa Covid-19 lalu, MBSJ ada menyediakan permit percuma kepada penjaja kerana terdapat dasar mengenai perkara itu, namun tidak diteruskan memandangkan permit merupakan salah satu hasil MBSJ.

“Justeru, pada 2023 kita ambil pendekatan yang akan memudahkan penjaja. Kita dapati penjaja dan ruang untuk berniaga kurang, kita cuba bantu dengan adakan beberapa program contohnya festival makanan dan tambahan bazar Ramadan,” katanya selepas majlis angkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan ahli majlis MBSJ bagi sesi 2023 di Bangunan MBSJ pada Khamis.

Mengulas lanjut Johary berkata, lokasi bazar Ramadan yang dahulunya 16 lokasi ditambah menjadi 20 lokasi pada tahun ini bagi memberi ruang peniaga menjalankan perniagaan.

“Kita telah kenal pasti satu lokasi baharu di SS13/1A berhampiran tapak kendera saji (food truck) yang akan dijadikan bazar Ramadan melalui penyediaan 30 petak niaga.

“Selain itu, kita bekerjasama dengan FAMA dan agensi kerajaan negeri untuk jadikan lokasi tersebut sebagai program pasar tani dan jualan murah ehsan serta program bersesuaian.

“Ini sedang kita usahakan kerana lokasi itu berpotensi. Kita juga sedang kenal pasti beberapa lokasi lain untuk peniaga beroperasi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan MBSJ melanjutkan tempoh permohonan bazar Ramadan yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember lalu yang disambung sehingga 15 Januari depan.

Tambah Johary, ia susulan tambahan lokasi baharu bazar yang dibuka selepas ucapan Perdana Menteri yang meminta PBT kenal pasti lokasi untuk peniaga menjalankan perniagaan.

“Setakat ini 80 peratus daripada 1,500 petak bazar Ramadan yang disediakan telah dimohon,” katanya.