Tunku Ismail tinjau skuad Harimau Malaya berlatih

in Sukan by

Tunku Ismail berkenan meninjau sesi latihan pasukan negara di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di sini petang Khamis. – Foto Facebook FAM

TUNKU Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan meninjau sesi latihan pasukan negara di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di sini petang Khamis.

Tunku Ismail yang diiringi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, meluangkan masa kira-kira 30 minit menyaksikan latihan skuad Harimau Malaya kendalian Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut meluangkan masa berjumpa barisan pemain dan kejurulatihan pasukan negara sebelum berangkat meninggalkan Wisma FAM kira-kira jam 7 malam.

Pasukan negara kini dalam persediaan menghadapi perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

**media[2046997]**

Bahang pertembungan itu mula dirasai pemain pertahanan negara Dominic Tan yang menjangkakan perlawanan berdepan skuad Gajah Perang itu berlangsung sengit.

“Pastinya ia bukan perlawanan yang mudah, semua nak menang dan layak ke final tetapi kita kena buat yang terbaik. Sudah tentu penting juga untuk kita bawa momentum baik bertemu Singapura (ke perlawanan menentang Thailand),” katanya kepada pemberita pada sesi latihan pasukan negara.

Sementara itu, pemain pertahanan, Quentin Cheng berkata, pasukan Malaysia sentiasa mempunyai keyakinan menentang mana-mana lawan dan mampu mencapai kejayaan jika mereka menjalankan peranan mereka dengan baik.

“Kami sentiasa yakin menentang mana-mana pasukan dalam kejohanan ini, jurulatih memberi kami satu pelan permainan dan taktik untuk dilaksanakan dalam setiap perlawanan, kami cuma perlu mencuba yang terbaik untuk mengikut apa yang perlu dilakukan. Jika kami melakukan apa yang kami mampu, saya rasa kami boleh menewaskan sesiapa saja,” kata pemain Selangor FC itu.

Malaysia masih segar dengan kejayaan menewaskan Singapura 4-1, Selasa lepas, sekali gus mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B di belakang Vietnam yang akan membuat perhitungan dengan Indonesia.

Selepas perlawanan Sabtu ini, pasukan negara akan berlepas ke Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Selasa minggu depan. – Bernama