Tutup ladang ayam jika gagal atasi masalah lalat

in Edisi by

Bakri Sawir. (Gambar kiri) Laporan Sinar Harian berhubung masalah lalat yang berlaku.

JELEBU – Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dengan menutup sebuah ladang ternakan ayam berhampiran Felda Titi di sini jika pengusahanya gagal menyelesaikan masalah gangguan lalat di kawasan terbabit yang terus membelenggu penduduk.

Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata, pihak pengurusan ladang ayam telah pun diberi peluang terakhir supaya mengambil tindakan menyelesaikan masalah itu.

“Jika pihak pengusaha masih gagal menyelesaikan masalah itu, dia akan berdepan penarikan lesen operasi buat selama-lamanya.

“Masalah gangguan lalat di kawasan itu berulang disebabkan perubahan pengurusan baharu yang diambil alih tahun lalu.

“Berikutan itu, saya berikan peluang terakhir kepada pengurusan baharu ini untuk perbaiki kekurangan yang ada kerana pengurusan sebelum ini telah berjaya mengatasi masalah itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis.

Sinar Harian pada April tahun lalu melaporkan mengenai gangguan lalat yang berlaku sehingga mengganggu aktiviti harian selain menjejaskan penduduk membuat persiapan Aidilfitri.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) turut menggantung lesen operasi ladang ayam berkenaan susulan daripada aduan diterima.

Pergantungan operasi itu bagi membolehkan syarikat yang menguruskan ladang ayam berkenaan mengatasi masalah serangan lalat tersebut.