Warga emas, kanak-kanak melecur dalam kebakaran

in Berita Semasa by

Seorang warga emas dan seorang kanak-kanak melecur manakala seorang wanita dewasa cedera dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Gembira di sini pada Khamis.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas dan seorang kanak-kanak melecur selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian di Taman Gembira di sini pada Khamis.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 5 pagi.

“Susulan itu seramai 19 anggota dari BBP Larkin dan BBP Tebrau dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 1.4 x 6.5 meter terbakar 60 peratus. Terdapat tiga mangsa yang cedera dan melecur semasa kejadian berlaku.

“Warga emas berusia 70 tahun dan kanak-kanak berusia 10 tahun itu melecur manakala seorang wanita dewasa berusia lingkungan 30-an cedera,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan ambulans dan EMRS J2-20 Kempas.

Jelasnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi menyelamat mangsa selesai pada jam 6.35 pagi.