Covid-19: Dunia diancam subvarian baharu

in Khas by

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Meskipun banyak kemajuan dicapai dalam usaha memerangi Covid-19, namun virus penyakit berjangkit ini terus bermutasi dan masih mengancam kesihatan, ekonomi dan masyarakat dunia secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat media secara maya dari Geneva, Switzerland pada 4 Januari lepas menyuarakan kebimbangan tentang penularan meluas Covid-19 melibatkan subvarian baharu di beberapa bahagian dunia.

Salah satu subvarian Omicron yang pada asalnya dikesan pada Oktober 2022 ialah XBB.1.5 – rekombinan dua BA.2 sublineage – dilaporkan sedang meningkat di Amerika Syarikat serta Eropah dan dikenal pasti di lebih 25 buah negara.

Senario fasa peralihan ke endemik di Malaysia menunjukkan dominasi varian XBB, hasil survelan genomik SARS-CoV-2 (virus yang mencetuskan penyakit Covid-19) di negara ini sepanjang Disember 2022 iaitu merangkumi sebanyak 55.4 peratus, diikuti varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan varian BQ.1 (10.8 peratus).

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdulah dalam kenyatan media 2 Januari 2023, varian XBB masih varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak bulan Oktober 2022.

Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian Lineage Under Monitoring (LUM) WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia).

Beliau juga menyebut, di negara China, varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di negara berkenaan pada masa ini.

Kedua-dua varian ini tergolong sebagai sublineage Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) WHO.

Kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 juga dikesan di Malaysia dan setakat 31 Disember, 2022 terdapat sebanyak 4,148 kes yang dijangkiti dengan BA.5.2 dan tiga (3) kes yang dijangkiti dengan BF.7.

Sementara itu, trend kes baharu tiga angka berterusan di minggu pertama tahun baharu 2023 dan semalam (5 Januari), sebanyak 571 kes harian baharu dilaporkan termasuk tujuh (7) kes kematian dan satu (1) kes import.

Sepanjang Rangkuman Bernama 31 Disember 2022 – 5 Januari 2023, jumlah kes harian baharu adalah sebanyak 2,630 kes, menyusut iaitu susut sekitar 23 peratus berbanding 3,437 kes pada Rangkuman Mingguan 24 -30 Disember 2022.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 negara menurut data KKMNOW Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat jam 11:59 malam 5 Januari 2023 adalah sebanyak 5,028,794 kes.

Kes aktif menurun kepada 11,564 dan 94.6 peratus (10,945 kes) daripada jumlah itu menjalani kuarantin di rumah.

Untuk pecahan kes mengikut negeri, hanya Selangor mencatat kes tiga angka iaitu 191 kes.

Kes dua angka dilaporkan di WP Kuala Lumpur (82), Sarawak (54), Melaka (40), Perak (37), Pulau Pinang (29), Kedah (24), Pahang (21), Johor (20), Sabah (18), Negeri Sembilan (15), Terengganu (15), WP Putrajaya (13) dan Kelantan (10).

Kes satu angka dilaporkan di Perlis (1) dan WP Labuan (1).

Untuk rekod, kes pertama Covid-19 (sebelum ini dikenali sebagai 2019-nCOV) dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, melibatkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari.

Dengan 5,028,794 kumulatif kes Covid-19, Malaysia kini menduduki tangga 28 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Chile (5,052,980) dan Ukraine (5,357,941).

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Jepun mencatat kes harian baharu tertinggi (226,904) diikuti oleh Korea Selatan (64,106) dan Taiwan (31,514).

Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,120,804 kes. – Bernama