Jauhi kedai makan 'kembang tekak', sokong peniaga bersih

in Pojok by

Foto hiasan.

MERAK Jalanan sokong keputusan kerajaan Selangor mewajibkan penjaja dan pengusaha restoran di negeri itu memakai pelitup muka mulai awal tahun ini bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Ia adalah langkah yang baik bukan sahaja kepada pelanggan tetapi faedah tersebut dapat diperoleh pengusaha makanan itu sendiri kerana gerai yang dilihat bersih akan dapat menarik lebih ramai pelanggan.

Secara jujurnya, Merak Jalanan seorang yang cukup cerewet dalam bab makanan dibeli di gerai-gerai tepi jalan ataupun makan di mana-mana restoran.

Kalau nampak apa-apa perbuatan yang menyebabkan Merak Jalanan ‘kembang tekak’, maka gerai dan restoran itu akan ‘dipangkah’ serta-merta ataupun dijauhi sampai bila-bila.

Contohnya, sebelum ini Merak Jalanan pernah ternampak penjual nasi lemak yang pada waktu tiada pelanggan memanfaatkan masa lapangnya dengan memicit jerawat.

Apabila pelanggan datang, tanpa membasuh tangan, jari jemari tadi digunakan untuk memegang telur dan bahan-bahan lain untuk membungkus nasi lemak.

Ada juga peniaga yang membenarkan makanan mereka dihurung lalat-lalat hijau bersaiz besar tanpa ada rasa bimbang makanan itu akan tercemar.

Pernah juga Merak Jalanan perhatikan kuku pelayan yang tidak dipotong dan penuh dengan warna kehitaman yang memutuskan selera untuk menjamah makanan.

Oleh kerana geli geleman dengan perbuatan itu, Merak Jalanan akan berkempen kepada sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai yang lain supaya mengelak gerai berkenaan atas sebab sikap pengotor tersebut.

Jika ada kedai makan yang sedap dan bersih dari segala segi, Merak Jalanan juga akan kempen secara percuma supaya semua orang pergi makan di kedai makan itu, sekali gus menyokong peniaga yang bersih.