JKM selamatkan dua kanak-kanak jaja kacang putih

in Edisi by

Nicole (tiga dari kiri) ketika menziarahi dua beradik itu di Temiang pada Jumaat.

SEREMBAN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan menyelamatkan dua kanak-kanak perempuan yang didapati menjaja sekitar daerah ini pada Disember tahun lepas.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, dua beradik itu berumur 12 dan sembilan tahun diselamatkan ketika Operasi Pengemisan Kanak-kanak di satu kawasan perniagaan yang ada aktiviti hiburan.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebelum ditempatkan di rumah perlindungan selama 24 jam. Bagaimanapun, ketika penyerahan kepada keluarganya hanya neneknya yang hadir untuk mengambil mereka.

“Kita sudah membuat susulan kes yang mana ibu bapa mereka tinggal di Melaka dan dua beradik itu tinggal bersama neneknya sejak Oktober tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga dua beradik itu di Temiang di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi.

Nicole berkata, hasil soal siasat mendapati keluarga itu tidak mengetahui bahawa perbuatan membenarkan kanak-kanak menjaja adalah satu kesalahan di bawah undang-undang.

“Saya difahamkan mereka mengusahakan perniagaan keluarga iaitu menjual kacang putih sejak sekian lama dan disebabkan dua beradik itu didakwa kerap tidak bersekolah sejak tinggal bersama ibu bapa mereka di Melaka, maka mereka bertindak menjaja, dipantau bapa saudaranya.

“Tambahan pula apabila masing-masing memperoleh keuntungan daripada jualan tersebut lebih RM100 sehari ia menjadi keseronokan, sekali gus mendorong untuk tidak bersekolah.

“Keluarganya juga mendakwa sudah melarang tetapi dua beradik itu tetap mahu menjaja dengan alasan mahu membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Jelas Nicole, kes tersebut bagaimanapun masih dalam siasatan pihaknya mengikut Seksyen 17(1)(K) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001.

“Sehingga kini kedua ibu bapanya gagal dihubungi dan usaha mengesan giat dilakukan bagi tujuan penyelesaian kes,” katanya.

Tambah Nicole, dua beradik itu kini sudah mula bersekolah sejak dua hari lepas dan pemantauan masih dilakukan oleh Pegawai Pelindung JKM daripada masa ke masa.