Kad NFC Touch n Go tak dapat, rugi pula lebih RM23,000

in Berita Semasa by

Mangsa mengisi maklumat akaun bank untuk proses pembayaran tetapi tidak berjaya namun kemudian mendapati wangnya lesap. – Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pegawai latihan vokasional terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM21,514.70 selepas menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai ejen jualan kad Touch n Go (TNG) NFC.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 55 tahun itu dikatakan telah melihat satu iklan penjualan murah kad TNG NFC di laman sosial Facebook pada Rabu.

“Mangsa berminat dengan tawaran pakej keluarga iaitu empat keping kad TNG NFC bernilai RM32 dan telah menekan capaian yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian telah mengisi maklumat akaun Bank seperti nama pengguna dan kata laluan untuk proses pembayaran tetapi tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ramli memberitahu, mangsa seterusnya membuat semakan dan mendapati wang dalam akaun telah lesap tanpa pengetahuannya.

“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut pada Khamis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak muat turun aplikasi yang tidak berkaitan.

“Jangan dedahkan butir-butir perbankan kepada pihak ketiga ataupun di dalam seberang aplikasi daripada capaian yang mencurigakan,” kata Ramli lagi.