Kes saman Anwar: Razman diarah fail pernyataan pembelaan

in Berita Semasa by

Dari kiri: Anwar dan Razman

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Taiping hari ini mengarahkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya, selewat-lewatnya 31 Januari ini.

Saman berkenaan berhubung ucapan yang didakwa mengaitkan Pengerusi Pakatan Harapan itu membawa budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Peguam Datuk S. N. Nair yang mewakili Anwar berkata, mahkamah juga mengarahkan anak guamnya, memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 20 Februari.

“Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 24 Februari ini,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin secara dalam talian hari ini.

Prosiding itu turut disertai seorang lagi peguam Anwar Jaden Phoon, manakala Razman diwakili peguam Nurul Atiqah Badrul Hisham.

Pada 5 Disember lepas, Anwar, memfailkan saman itu dengan menamakan Razman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gunong Semanggol selaku defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar selaku plaintif berkata pada 6 November tahun lepas, defendan berucap mengenai perkara itu pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 di pasar malam Tebuk Pancur.

Beliau berkata, ucapan berkenaan disiarkan secara langsung melalui klip video di akaun Facebook defendan, yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 kali perkongsian dan melebihi 2,600 komen sehingga hari ini.

Menurut Presiden PKR itu, siaran video langsung Facebook tersebut kemudian diterbitkan menerusi artikel bertarikh 6 November 2022 dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, di dalam sebuah portal berita.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata kata-kata fitnah tersebut dibuat untuk menjatuhkan reputasinya dan dakwaan dalam artikel berkenaan adalah tidak benar, kerana plaintif sentiasa memperjuangkan ajaran dan nilai teras Islam selain mendakwa ia dibuat bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya, dengan menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian terhadapnya dan parti semasa tempoh berkempen untuk PRU15.

Menurut plaintif, defendan telah melanggar Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi kesalahan menimbulkan permusuhan semasa kempen pilihan raya, selain mendakwa defendan gagal mengemukakan permohonan maaf kepada plaintif, berhubung tindakannya itu.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan serta memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada terus mengungkapkan atau menyebabkan penerbitan artikel memfitnah yang serupa selain menuntut kos, faedah dan relif lain yang sesuai. – Bernama