Lemas ketika mandi di air terjun Asahan

in Berita Semasa by

Pasukan penyelamat menemukan seorang pemuda yang lemas semasa mandi di air terjun Asahan, Tangkak pada Jumaat. – Foto ihsan IPD Tangkak

TANGKAK – Seorang pemuda yang hilang semasa mandi di kawasan air terjun Asahan, Gunung Ledang di sini ditemukan lemas pada pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Mohd Fadhil Minhat berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa yang berusia 19 tahun itu pada jam 9.37 malam Khamis.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Tangkak dan Balai Polis Asahan dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, Melaka serta orang awam memulakan operasi mencari mangsa.

“Hasil siasatan polis mendapati, mangsa bersama rakannya telah ke lokasi untuk mandi tetapi tiba-tiba mangsa tidak kelihatan dan pada masa sama keadaan di kawasan itu sudah gelap.

“Rakannya kemudian menghubungi keluarga mangsa bagi memaklumkan kejadian tersebut dan susulan itu satu laporan dibuat di Balai Polis Asahan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat menemukan mangsa pada jam 1 pagi Jumaat namun disahkan sudah meninggal dunia.

Katanya, mayat kemudian dibawa ke bahagian forensik Hospital Tangkak dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana lemas.

“IPD Tangkak menasihatkan orang ramai yang mengunjungi kawasan-kawasan air terjun agar mengambil langkah berhati-hati memandangkan cuaca tidak menentu,” ujar Mohd Fadhil sambil memberitahu, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi hotline IPD Tangkak 06-9785222.