Menteri enggan ulas isu perketat SOP, protokol Covid-19

in Nasional by

Dr Zaliha – Foto Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa enggan mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan protokol Covid-19 yang diperketatkan susulan kebimbangan awam terhadap kemasukan pelancong warga China ke negara ini.

Sebaliknya kata beliau, satu taklimat bersama media akan diadakan pada Selasa ini.

“Kita jemput media untuk menerangkan segala kekeliruan mengenai Covid-19 dan protokol akan dijawab pada hari itu juga,” katanya selepas diasak pemberita mengenai perkara tersebut di sini pada Jumaat.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan keselamatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan pimpinannya dengan memperketatkan kawalan di pintu masuk negara.

China membuka sempadan negaranya pada Ahad ini dan dijangka Malaysia antara lokasi tumpuan pelancong dari negara itu.

Dr Zaliha berkata, KKM sedang dalam perbincangan dengan pemegang taruh berkaitan antaranya pengendali lapangan terbang, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

“Insya-ALLAH kita akan perkemaskan seperti yang diminta oleh Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas Amanat Tahun Baharu 2023.

Sementara itu dalam ucapan, Dr Zaliha berkata KKM menilai secara dekat perkembangan mutakhir jangkitan Covid-19.

Kementerian itu juga bekerjasama rapat dengan negara serantau dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memperkukuh strategi kawalan dan pencegahan penularan Covid-19 berdasarkan fakta sains dan analisis data.

China baru-baru ini mengumumkan akan mula melonggarkan langkah pencegahan pandemik dan memilih hidup bersama Covid-19 selepas tiga tahun sekatan, sempadan ditutup dan kuarantin wajib.

Bagaimanapun Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol menguatkuasakan keperluan perjalanan baharu untuk mereka yang datang dari China termasuk keputusan ujian negatif Covid-19.

Ia susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 selepas sekatan ketat dasar sifar Covid-19 yang dilaksanakan China selama beberapa tahun, dilonggarkan bulan lalu tanpa sebarang amaran ataupun persiapan.

Selain itu, Maghribi mengenakan larangan masuk kepada pelancong dari China mulai Selasa lalu berikutan peningkatan kes Covid-19.

Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!