Polis bongkar sindiket dadah bernilai hampir RM4 juta

in Berita Semasa by

Zainol (tengah) menunjukkan bungkusan yang mengandungi dadah jenis syabu ketika sidang akhbar di IPD Jasin, di sini, pada Jumaat.Zainol (tengah) menunjukkan sebahagian pil ekstasi yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Serkam pada Rabu lalu.

JASIN – Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai RM3.8 juta di sebuah rumah di Serkam di sini, pada Rabu lalu.

Serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Melaka menahan lapan individu berusia 28 hingga 48 tahun termasuk dua pasangan suami isteri dalam empat serbuan berasingan di Serkam, Jasin dan Kota Damansara, Selangor.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dalam serbuan pertama pada jam 3 petang itu, tiga individu termasuk dua lelaki dan seorang wanita berusia 37 hingga 43 tahun ditahan dalam dua buah kenderaan di depan sebuah rumah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di rumah itu kemudian menahan dua lagi individu berusia 28 dan 43 tahun dipercayai pasangan suami isteri.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah terbabit menemui bungkusan dadah jenis syabu seberat 82.64 kilogram (kg) bernilai RM2.9 juta dan pil ekstasi seberat 16.62 kg bernilai RM831,000 yang dipercayai akan diedarkan ke pasaran luar negara.

“Susulan itu kita membuat serbuan kedua dan ketiga dan menahan dua individu lelaki berusia 39 dan 47 tahun di Permatang Serai dan Kampung Pulai, Merlimau.

“Manakala serbuan keempat di Selangor polis menahan seorang lagi lelaki berusia 48 tahun kerana disyaki terlibat dalam sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, turut dirampas empat kenderaan, tiga motosikal, barang kemas, wang tunai berjumlah RM2,114 dan mata wang asing.

**media[2047495]**

Kata beliau, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran yang turut disertai dua nelayan itu aktif sejak awal tahun lalu namun hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Jelas beliau, bagaimanapun hanya tangkapan pertama dan tangkapan keenam mempunyai rekod lampau berkaitan Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952.

“Kesemua suspek masih direman bermula Khamis lalu hingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.