Situasi menang-menang atasi isu bekalan ayam, telur

in Edisi Perak by

Woo Kah Leong
IPOH – Isu bekalan, harga ayam dan telur di pasaran perlu ditangani dengan situasi menang-menang di antara penternak dan pengguna agar masalah tersebut tidak terus berlaku.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, penternak tidak boleh disalahkan 100 peratus di sebalik kekurangan bekalan barangan keperluan tersebut di pasaran.

Menurutnya, isu utama membabitkan kenaikan harga makanan ayam yang diimport menyebabkan kos penternakan meningkat sekali gus sukar untuk penternak menjual pada harga rendah kerana merugikan industri.

“Kalau kita tak atasi masalah pokok, susah untuk kita tangani isu ini secara menyeluruh. Memang harga siling kita boleh membantu pengguna, tapi saya rasa masalah sekarang ada tempat yang tak ada bekalan macam telur bersubsidi.

“Sebab itu perlu ada satu langkah penyelesaian daripada kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri masing-masing.

“Kita kena buat satu polisi menang-menang, tak boleh pengguna saja menang. Ini menjadikan penternak takut untuk menghasilkan ayam ataupun menghasilkan telur sebab mereka terpaksa tanggung kerugian,” katanya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian pada Khamis.

Kah Leong berkata, perkara ini akan dipanjangkan kepada kementerian berkaitan jika exco-exco kerajaan negeri dipanggil dalam mesyuarat berkaitan usaha menangani kenaikan kos sara hidup rakyat.

Sementara itu, beliau menjelaskan isu kenaikan kos sara hidup rakyat memang menjadi antara perkara utama dibincangkan setiap kali dalam mesyuarat Exco berdasarkan aduan orang ramai.

“Kita memang ada pergi buat pemeriksaan mengejut di lokasi-lokasi yang dikatakan tak cukup telur dan ayam ini dan setelah itu kita maklumkan kepada pegawai untuk perbaiki perkara tersebut.

“Ini antara hala tuju kerajaan kita untuk berada di lapangan bagi mengetahui masalah rakyat tentang kos sara hidup dan kita tengah cuba perbaiki dengan mengikut rentak Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Untuk rekod, Perak merupakan antara pengeluar ayam dan telur terbesar di negara ini dengan kebanyakan ladang ternakan terletak di daerah Manjung dan Kampar.