Thailand keluarkan garis panduan mengenai ganja

in Global by

Gambar hiasan – Foto 123RF

BANGKOK – Thailand mengeluarkan garis panduan untuk pelawat mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan membabitkan penggunaan dan pemilikan ganja di negara itu.

Infografik berbahasa Inggeris ’10 Perkara Yang Perlu Diketahui Pelancong Tentang Ganja di Thailand’ yang disiarkan di laman sesawang Kementerian Kesihatan Awam itu antara lain menyatakan bahawa ‘menghisap ganja di kawasan awam termasuk sekolah dan pusat beli-belah adalah haram’.

Menurut Pemberitahuan Jabatan Kesihatan, menghisap ganja di khalayak ramai untuk rekreasi boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga 25,000 baht (kira-kira RM3230) atau kedua-duanya.

Garis panduan itu turut menyatakan bahawa penanaman ganja adalah sah tetapi ia perlu didaftarkan dalam aplikasi ‘Plook Ganja’ Pentadbiran Makanan dan Dadah atau menerusi laman sesawang kerajaan.

Benih atau bahagian tumbuhan ganja dari dan ke Thailand untuk tujuan peribadi juga tidak dibenarkan.

“Hanya tumbuhan ganja domestik yang ditanam di Thailand dikeluarkan daripada senarai dadah narkotik. Bagaimanapun, tumbuhan ganja yang diimport masih dalam senarai narkotik.

“Mengimport benih ganja juga memerlukan kebenaran daripada Kementerian Pertanian dan Koperasi,” menurut garis panduan itu.

Hanya produk kesihatan ganja yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Thailand sah untuk dijual.

Produk ganja perubatan boleh didapati di hospital/klinik dan farmasi awam dan swasta.

Selain itu, pelancong yang melawat Thailand perlu mematuhi peraturan itu atas sebab keselamatan dan selepas pulang ke tanah air pelancong perlu mematuhi undang-undang dan peraturan mengenai penggunaan serta pemilikan ganja dan produk ganja di negara asal masing-masing.

Pada 9 Jun 2022, Thailand menjadi negara pertama di Asia yang mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik susulan langkah FDA mengeluarkan marijuana dan ‘hemp’ daripada senarai narkotik Kategori 5.

Sementara itu, timbalan setiausaha tetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Narong Apikulwanich berkata panduan itu akan diterjemah dalam bahasa Mandarin, Korea, Jepun dan Rusia.

“Kementerian itu membenarkan penggunaan ganja dan hem (hemp) untuk tujuan perubatan dan penyelidikan, namun masih melarang penggunaannya untuk rekreasi,” kata Narong.

10 perkara itu ialah:

– Membawa benih atau bahagian pokok ganja dari dan ke Thailand untuk tujuan peribadi tidak dibenarkan

– Penanaman ganja adalah sah dengan syarat penanam mendaftar pada aplikasi ‘Plook Ganja’ Pentadbiran Makanan dan Dadah atau melalui tapak web kerajaan

– Menggunakan tunas bunga ganja untuk penyelidikan, eksport, penjualan atau pemprosesan untuk tujuan komersial memerlukan permit rasmi

– Individu di bawah umur 20 tahun, wanita hamil dan wanita menyusukan bayi tidak dibenarkan mengambil ganja kecuali di bawah pengawasan profesional kesihatan

– Memiliki ekstrak yang mengandungi lebih daripada 0.2 peratus THC dan THC sintetik perlu mendapat kelulusan

– Hidangan mengandungi ganja hanya terdapat di restoran yang dibenarkan

– Produk kesihatan ganja yang diluluskan boleh diakses melalui saluran tertentu

– Menghisap ganja di tempat awam termasuk sekolah dan pusat beli-belah adalah haram

– Elakkan memandu selepas mengambil makanan atau produk kesihatan mengandungi ganja

– Mereka yang mengalami reaksi teruk akibat mengambil ganja hendaklah segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. – Bernama