200 ibu tunggal, asnaf terima bantuan kurangkan kos kewangan

in Edisi Kelantan by

Puteri Fazlieznoor (kiri) menyampaikan kotak makanan kepada penerima terpilih.Rosmah (dua dari kanan) dan Zaidah ( kiri) bersyukur menerima sumbangan Yayasan Food Bank Malaysia.

KOTA BHARU – Bantuan beras, kotak makanan dan lampin pakai buang daripada Yayasan Food Bank Malaysia membantu meringankan beban kewangan 200 ibu tunggal dan asnaf di sekitar Kubang Kerian dekat sini.

Rata-rata penerima yang ditemui bersyukur kerana sumbangan itu dapat menampung keperluan dan mengurangkan kos pembelian harian mereka.

Suri rumah, Rosmah Che Heng, 55, mengakui gembira kerana terpilih sebagai penerima dan berharap lebih ramai akan mendapat manfaat di atas inisiatif yayasan berkenaan bersama Persatuan Peduli Ibu Tunggal dan Asnaf Kelantan.

Rosmah berkata, harga barangan yang diterima kini semakin meningkat menyebabkan ada yang terpaksa memilih untuk membeli atau sebaliknya.

“Lampin pakai buang yang didermakan juga mahal tetapi ia menjadi keperluan ibu mertua saya, Kiah Mat Tahir, 81, yang terlantar akibat sakit tua,” katanya selepas menerima sumbangan itu pada Sabtu.

Dia yang tinggal di Kampung Marak, Banggu di sini mengakui keadaan lebih rumit ketika banjir pertengahan bulan lalu apabila rumahnya terkepung dan tidak boleh dilalui.

Bagaimanapun katanya, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 banyak membantu dalam tempoh sukar itu.

Bagi asnaf, Zaidah Daud, 51, berkata, sumbangan berkenaan turut membolehkannya berjimat wang untuk membeli lampin pakai buang ibu mertua berusia 86 tahun yang terlantar kerana sakit tua.

“Kos untuk membeli lampin pakai buang sahaja sudah mencecah RM300 sebulan.

“Usaha Persatuan Peduli Ibu Tunggal dan Asnaf Kelantan serta pihak yayasan mengurangkan beban perbelanjaan kami,” katanya.

**media[2048786]**

Bagaimanapun Zaidah bersyukur kerana suaminya, Husin Yasok, 50, yang mengalami cacat kekal di bahagian kaki masih boleh bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Sementara itu, Koordinator Projek Yayasan Food Bank Malaysia, Puteri Fazlieznoor Yahaya berkata, mereka menghantar bantuan selepas menerima permohonan daripada Persatuan Peduli Ibu Tunggal dan Asnaf Kelantan.

Katanya, setakat ini bantuan sudah diedarkan kepada golongan memerlukan di Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Kubang Kerian.

“Sesuai slogan kami iaitu ‘bepakat bantu masyarakat’, kita mengalu-alukan orang ramai untuk bersama mengumpul dana dengan menyumbang melalui akaun Maybank bernombor 566010630584 atas nama Yayasan Food Bank Malaysia,” katanya.

Beliau memberitahu, yayasan tu kini sedang mengumpul dana untuk menyumbang kepada mangsa banjir di Kelantan.