600 pelajar terjejas terima bantuan pascabanjir

in Edisi by

Tiga pelajar gembira menerima kit bantuan barangan keperluan persekolahan. – Foto UMT

BESUT – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 600 pelajar yang terjejas dalam kejadian banjir besar melanda di daerah ini pada bulan lalu apabila menerima kit bantuan barangan keperluan persekolahan.

Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih (MyCAS) yang juga pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Noor Zaitun Yahaya berkata, ia bagi meringankan beban pelajar berkenaan.

Menurutnya, semua penerima sumbangan merupakan pelajar terpilih daripada 11 buah sekolah menengah dan rendah di daerah Besut.

“Banjir besar menyebabkan ada mangsa tinggal sehelai sepinggang, pelajar pula kehilangan kelengkapan sekolah mereka. Jadi bantuan ini diharap dapat menceriakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Selain keperluan sekolah, sebanyak 300 pek bantuan berupa kit kebersihan dan barangan dapur turut diagihkan kepada keluarga mangsa terjejas banjir melibatkan dana keseluruhan berjumlah RM40,000.

Sumbangan tersebut disampaikan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik UMT, Prof Ir Dr Mohammad Fadhli Ahmad dalam satu majlis diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering di sini pada Sabtu.

Program dinamakan Misi Bantuan Banjir Ganu Eco Charity 3.0 itu mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Pertubuhan Aspirasi Jaringan Wanita Malaysia (Ajwa) dan Majlis Dewan Wanita Terengganu (MDWNT).

Selain itu, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) Terengganu, Pertubuhan Ikram Negeri Terengganu, Kelab Mutiara, UMT dan Ngukah Walk Fit Hulu Terengganu turut memberi kerjasama.

Misi bantuan pascabanjir tersebut merupakan program pengagihan siri ketiga selepas bantuan yang sama diadakan di daerah Dungun baru-baru ini.