Anwar adakan lawatan sulung ke Indonesia

in Nasional by

Anwar (kiri) dan Jokowi – Foto Instagram Jokowi Zambry (tengah) pada sidang akhbar pembuka tirai lawatan sulung Perdana Menteri ke Indonesia di Sepang pada Sabtu.

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Jakarta, Indonesia bermula Ahad dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden, Joko Widodo (Jokowi).

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pertemuan itu adalah atas jemputan daripada Jokowi dan ia merupakan lawatan rasmi pertama Anwar sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.

Menurutnya, pertemuan Anwar bersama Jokowi akan diadakan di Istana Bogor pada Isnin.

“Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mempertingkatkan hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

“Mesyuarat di antara kedua-dua pemimpin ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu dan menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pembuka tirai lawatan sulung Perdana Menteri ke Indonesia di sini pada Sabtu.

Zambry menambah, lawatan Perdana Menteri itu akan diiringi oleh beliau dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

**media[2049023]**

Menurutnya, antara isu utama yang akan dibincangkan adalah kerjasama ekonomi termasuk potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara dan strategi bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

Selain itu katanya, isu lain adalah tentang pembatasan sempadan darat dan maritim, pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia serta kepengerusian Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) oleh Indonesia pada tahun ini.

“Sela-sela lawatan ini, sejumlah lapan memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia.

“Sebuah majlis penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh syarikat-syarikat Malaysia kepada Pengerusi Nusantara juga akan diaturkan bagi menyatakan hasrat Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk pembangunan IKN Nusantara,” ujarnya.

Katanya, melihat pembangunan IKN Nusantara tentunya akan memberi peluang kepada Malaysia terutama Sabah dan Sarawak untuk mendapat manfaat pembangunan di Kalimantan.

Selain itu katanya, pada 2021, Indonesia adalah rakan dagang global ketujuh terbesar dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan RM95.31 bilion.

“Bagi Januari hingga November 2022 lalu, Indonesia menjadi rakan dagang keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus iaitu RM120.26 bilion,” katanya.