Dembele tolak spekulasi sertai PSG

in Sukan by

Dembele – Foto AFP

OUSMANE Dembele menegaskan dia gembira di Barcelona sekali gus menolak spekulasi mengaitkan perpindahannya ke Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain sayap berusia 25 tahun itu tampil cemerlang bersama Barcelona terutama selepas Xavi mengambil alih pasukan pada November 2021 dengan merekodkan lapan gol dan 20 bantuan gol.

Ia termasuk enam gol dan tujuh bantuan gol dalam 22 perlawanan musim ini selain turut memberikan dua bantuan gol dalam tujuh penampilannya untuk Perancis ketika menamatkan saingan sebagai naib juara Piala Dunia di Qatar.

“Saya menandatangani kontrak baharu di Barca empat bulan lalu dan saya gembira di sini, saya mahu terus bekerja dan menambah baik prestasi di Barcelona.

“Saya rasa bagus dan gembira di Barcelona, ​​saya suka kehidupan saya di sini. Jurulatih mempercayai saya, dan lembaga pengarah (mempercayai saya) juga,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Barcelona, Joan Laporta menegaskan, Dembele bukan untuk dijual dan akan kekal di kelab itu untuk satu tempoh yang panjang.

“Jika PSG datang untuk menandatanganinya, kami akan memberitahu mereka bahawa dia tidak dijual.

“Dia adalah salah seorang pemain terpenting yang kami ada. Dia mempunyai kelajuan yang luar biasa, dia sangat pantas,” katanya.