Istana Seri Kinabalu kembali jadi tumpuan

in Politik by

Sebahagian pengamal media berkumpul di hadapan Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU – Istana Seri Kinabalu sekali lagi menjadi tumpuan apabila dikatakan mungkin ada pergerakan membabitkan ahli politik di negeri ini pada petang Sabtu.

Pergerakan itu dipercayai susulan daripada pergolakan politik yang berlaku di negeri ini selepas Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian di pintu masuk istana mendapati setakat ini belum ada sebarang kenderaan yang memasuki pintu istana setakat jam 3 petang.

Bagaimanapun, sebahagian pengamal media telah mula berkumpul seawal jam 12 tengah hari bagi mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di Istana Seri Kinabalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob bagaimanapun berkata, tiada sebarang arahan diberikan kepadanya untuk ke istana setakat ini.

“Tiadalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.