Jalan rosak tular didakwa punca sikap kontraktor

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Tangkap layar video yang menunjukkan jalan rosak teruk di Jalan Gangsa menghala ke Batu Berendam.

MELAKA – Isu jalan rosak di Jalan Gangsa menuju ke Batu Berendam berhampiran jalan masuk Taman Sutera Wangi di sini, hingga berlaku kemalangan didakwa berpunca daripada sikap pemaju perumahan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman berkata, siasatan awal mendapati keadaan yang berlaku beberapa hari lalu sehingga tular di media sosial kerana pemaju didakwa tidak mendapat kebenaran melakukan kerja-kerja pengorekan jalan.

Menurutnya, bukan sahaja tidak mendapat kebenaran Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah, malah kerja-kerja juga dilaksanakan tanpa meletakkan tanda-tanda amaran sehingga menyebabkan berlaku kemalangan.

“Saya telah mengarahkan kerja-kerja dihentikan segera pada 5 Januari dan JKR telah bertemu pemaju sebelum jalan itu diturap semula pada sebelah petang.

“Badan Koridor Infrastruktur (BKI) Melaka juga akan mengambil tindakan keras kepada pemaju berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Tambah beliau, laporan polis juga telah dibuat oleh JKR Alor Gajah ke atas pemaju berkenaan kerana telah melakukan kerja pengorekan jalan tanpa kebenaran di atas jalan awam.

“Kita memandang serius isu dan berharap tindakan tegas diambil terhadap kontraktor terlibat serta pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya lagi.

Baru-baru ini seorang pengguna Facebook memuat naik video berdurasi 31 saat memaparkan jalan yang rosak di kawasan itu.

Video itu turut menunjukkan keadaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu.