Kenapa bekalan babi jadi keutamaan?

in Politik by

Khidir

SHAH ALAM – Ketika mana isu kekurangan bekalan ayam dan telur masih belum selesai sepenuhnya tetapi bekalan daging babi menjadi keutamaan dan perlu diselesaikan oleh kerajaan.

Exco Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor, Khidir Jamil tampil mempersoalkan perkara tersebut apabila pihak kerajaan mahu membincangkan bekalan babi secara teliti dalam kabinet, sedangkan isu ayam dan telur masih belum berjaya diselesaikan.

Katanya, tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan cadangan kawalan kestabilan harga daging babi dibawa ke mesyuarat kabinet Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai ‘double standard’.

Jelasnya, jalan penyelesaian yang cuba dilaksanakan oleh Salahuddin itu disifatkan sebagai ‘double standard’ kerana tidak berusaha menyelesaikan isu yang dihadapi oleh majoriti masyarakat tetapi lebih menjaga kepentingan golongan minoriti.

“Ia seolah suatu tindakan solusi ‘double standard’ kerana ketika mana rakyat di dalam negara masih lagi berhadapan dengan isu kekurangan bekalan ayam dan telur dalam pasaran di sesetengah kawasan, isu bekalan daging babi pula mahu diperjuangkan.

“Apakah pengemar daging babi lebih ramai daripada kumpulan masyarakat yang makanan utamanya adalah telur dan ayam di negara kita ini?

“Sehinggakan isu tersebut terpaksa menunggu giliran untuk dibincangkan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapatkan penyelesaian menyeluruh daripada terus bergantung kepada bekalan import yang tidak berkualiti?” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Khidir berkata, pihak kerajaan dan menteri terlibat sepatutnya perlu menasihati pengguna dan penggemar daging babi agar tidak makan daging babi jika harga daging tersebut meningkat mahal sama seperti yang dicadangkan oleh individu-individu tertentu sebelum ini.

Tegasnya, kerajaan sewajarnya lebih peka dan sensitif di dalam merencanakan agenda kawalan rantai bekalan makanan dan menyelesaikan satu persatu mengikut populasi serta penggemar makanan utama rakyat.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan diharap dapat memberi tumpuan dan fokus utama kepada permasalahan rakyat berkenaan pembekalan makanan dengan lebih teliti, bukannya membuat keputusan yang dilihat berat sebelah serta beralih kepada tajuk lain.

“Adakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan ini bertujuan untuk cuba menjaga kepentingan melibatkan taikun dan penguasa tokey pasaran telur dan ayam dengan menimbulkan isu daging babi?

“Bagi saya, tindakan seumpama ini bukanlah suatu tindakan bijak oleh Kerajaan Perpaduan terutama dalam menjaga kepentingan dan kebajikan seluruh masyarakat,” katanya.