'Krisis politik Sabah berpunca daripada Hajiji' – Mohd Shafie

in Politik by

Mohd Shafie ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan Kolombong, Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU – Krisis politik yang melanda Sabah ketika ini adalah berpunca daripada tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri, kata Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, tindakan itu sebagai usaha untuk Hajiji mengekalkan jawatannya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk kerajaan Persekutuan.

“Saya melihat pergolakan kerajaan yang ada hari ini, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Hajiji itu akan sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan yang berlaku kerana kita faham bahawa daripada Perlembagaan Negeri Sabah cukup jelas sama ada Perkara 6 (3) atau Perkara 6 (7) iaitu menyatakan kedudukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pertama dia adalah ketua parti dan keduanya dia mempunyai jumlah.

“Jadi ini yang berlaku bila Hajiji keluar daripada Bersatu dan membuat pengumuman akan menyertai parti, kita tidak tahu parti mana yang dia nak jadi ketua, jadi ini menimbulkan kekeliruan.

“Di Persekutuan kita telah ada undang-undang Akta Anti Lompat kenapa tidak dilakukan di Sabah dan inilah keadaan yang kita katakan bahawa perundangan itu tidak dipatuhi. Tidak ada Akta Anti Lompat di Sabah tetapi pematuhan Artikel 6(3), 6 (7) tidak dilakukan,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong pada Sabtu.

Mohd Shafie dengan itu menekankan dari segi Perlembagaan Negeri Sabah jelas bahawa Hajiji bukan ketua parti malah beliau juga tidak mempunyai parti.

“Saya nampak pergeseran kerajaan yang ada pada PN dan GRS dengan BN dan semalam (Jumaat) mereka keluar daripada blok begitu besar parti kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2020 ialah PN dan BN, jadi kita lihat ini terkandung dalam peraturan di bawah bidang Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT).

“Bukan sesiapa, bukan saya, bukan mana-mana pihak tetapi TYT berkuasa untuk menentukan keadaan sedikit kegusaran yang berlaku dalam keadaan politik di Sabah ini.

“Jadi saya melihat walaupun ada yang menyatakan Coup d’etat sana, Coup d’etat sini, ini perundangan. Tiada yang boleh dilakukan dengan Coup d’etat walaupun tiada Akta Anti Lompat tetapi kita kena sedar Artikel 6 (7) dan Artikel 6 (3) dalam Perlembagaan Sabah di Sabah,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menolak bahawa pergolakan politik yang berlaku bukan disebabkan Warisan.

“Kerajaan berhak untuk menentukan siapa yang boleh membentuk, tetapi situasi semasa jelas mengikut perlembagaan ketua parti dengan majoriti, tetapi saya tidak katakan semestinya Warisan.

“Terpulang kepada TYT untuk menentukan. Tapi kadang-kadang ahli politik yang mengelirukan, beli sana beli sini, itu yang jadi keliru. Tukar sana, tukar sini, tukar Bersatu, tukar GRS, bukan perbuatan Warisan.

“Mana ada hak saya menyatakan kepada mana-mana pihak minta letak jawatan daripada parti. Siapa yang mula ini, bukan saya, siapa yang keluar,” katanya.