Pastikan dasar modal tidak untungkan pihak berkepentingan sahaja

in Nasional by

Tumpuan menarik pelabur asing penting bagi ekonomi Malaysia namun kerajaan perlu mengawal dasar modal agar tidak memihak kepada kelompok berkepentingan. – Foto 123RF

SHAH ALAM – Fokus dalam menarik pelabur asing adalah penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara terutama dalam menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta menjana pendapatan kepada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun, kerajaan harus memastikan dasar-dasar modal itu bukan hanya menguntungkan pihak berkepentingan semata-mata.

“Kita harus faham negara ini negara dagang dan kita berkembang pada tahun 80-an dan 90-an kerana pelaburan asing.

“Kemudian, negara harus memilih keutamaan. Apakah tujuan pendapatan hasil yang besar? Untuk membina projek mega atau untuk menjaga masalah rakyat dalam pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas?

“Bagi saya, tumpuan kita adalah menarik pelabur asing, ini sangat penting bagi kita. Kelulusan mesti cepat, dasar mesti jelas dan mesti properniagaan, tetapi kita perlu mengawal supaya dasar modal kapitalisme itu tidak hanya memihak kepada kelompok mereka,” katanya.

Dalam pada itu, ulas Anwar, dari segi memperkukuhkan imej negara di peringkat antarabangsa, beliau menerima banyak reaksi positif daripada negara-negara Islam, Eropah dan China berikutan peralihan kuasa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.

Menurutnya, negara juga perlu memainkan peranan dari segi isu-isu global termasuk isu Palestin.

“Tetapi fokus awal saya di peringkat awal ini adalah isu domestik iaitu ekonomi negara, kos sara hidup rakyat, peluang pekerjaan dan keperluan perumahan rakyat, itu saya nak tumpukan sepenuhnya.

“Jika saya terpaksa (melawat) ke Indonesia, Brunei dan negara jiran lain, ini kerana bagi mengukuhkan semangat kejiranan (seperti mana) yang dilakukan oleh setiap pemimpin baharu,” jelasnya.