Pelancong asing berbikini: Berjasa sokong ketegasan JAIM

in Edisi by

Norzaimeen (gambar kecil) dan laporan Sinar Harian.

SHAH ALAM – Parti Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menggesa orang Islam mempertahankan prinsip Perlembagaan manakala orang bukan Islam termasuk pelancong wajar menghormati peraturan negara.

Naib Ketua Wanita 1 Berjasa, Datin Norzaimeen Ab Kadir menyokong pendirian Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat atas ketegasan beliau dalam isu pemakaian bikini di kawasan pantai Pulau Besar.

“Apa yang berlaku di Qatar dalam Pesta Bola Dunia (Piala Dunia FIFA) 2022 yang lalu, masih segar di ingatan. Berdiri teguh dengan pendiriannya mengikut peraturan sendiri, walau dikecam oleh berapa negara yang tidak setuju, namun mendapat sokongan dan hormat dari dunia amnya. Maka kita mesti belajar dan mencontohi Qatar.

“Negara ini negara kita, Perlembagaan dan peraturan kita, maka negara dan rakyat serta pengunjung lain mesti menghormati kita di tanah kita sendiri.

“Toleransi kita terhadap hak, ada batasnya dan mereka boleh berkunjung, mandi dan berkelah, tetapi ada peraturan mesti dipatuhi, apabila berlaku rasa hormat menghormati barulah boleh kita capai keharmonian,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Malah Norzaimeen berkata, bukan sahaja kerana Pulau Besar punya sejarah Islamnya yang perlu dihormati tetapi cara pandang dan ketegasan JAIM ini mesti diguna pakai di seluruh negara.

Menurut beliau, ini sebagai menghormati Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menyatukan bahawa agama Islam adalah agama persekutuan, agama negara Malaysia.

“Oleh itu, orang Islam sepatutnya atas prinsip mempertahankan perlembagaan negara, manakala orang bukan Islam termasuk pelancong dan lain-lain, mesti menghormati peraturan negara seperti ini,” tambahnya.