Piala AFF 2022: Polis senarai 10 barang larangan ke stadium

in Berita Semasa by

Polis akan mengawal ketat keselamatan dalam perlawanan Piala AFF 2022 antara Malaysia bertemu Thailand di SNBJ pada Sabtu. – Foto Malaysian Football League

KUALA LUMPUR – Polis menyenaraikan lebih 10 barang larangan dibawa masuk ke dalam stadium bagi aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada Sabtu.

Perlawanan yang berlangsung itu dijangka dihadiri 59,000 penyokong pasukan bertanding.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, pihak polis telah membuat persiapan rapi melibatkan pelbagai jabatan dan unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki pekarangan stadium.

“Berikut adalah senarai barang terlarang yang tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam stadium iaitu mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser pen, sebarang objek tajam dan minuman keras.

“Selain itu, payung atau tongkat, powerbank, botol air, pemetik api serta rokok atau rokok elektronik turut dilarang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak polis juga akan memastikan aliran trafik di sekitar stadium berjalan lancar bagi memudahkan pergerakan orang ramai.

Katanya, untuk kelancaran lalu lintas, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke SNBJ selain elakkan melalui jalan di sekitar stadium jika tidak bertujuan menonton perlawanan itu.

Beliau turut meminta orang ramai mematuhi arahan daripada anggota polis bertugas selain tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan.

“Tindakan saman dan tunda akan diambil ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas.

“Pengguna jalan raya dinasihati supaya mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur semasa memandu kenderaan,” ujarnya.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan sentiasa memakai pelitup muka di tempat yang sesak bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit.

“Tatasusila hendaklah dijaga serta tidak melakukan sebarang provokasi melampau sehingga boleh mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan tersebut,” katanya.

Ujar beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.