Remaja maut langgar kerbau

in Berita Semasa by

Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. – Gambar hiasan

SEPANG – Seorang remaja maut apabila melanggar seekor kerbau dalam kemalangan di Jalan Dengkil Air Hitam di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika mangsa berumur 16 tahun menunggang motosikal dari arah Dengkil menghala ke Taman Dengkil Jaya.

“Siasatan dijalankan mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri gagal mengelak seekor kerbau yang melintas jalan di lokasi kejadian.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat.

“Pemeriksaan yang dijalankan turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.