Rumah, lima kenderaan hangus

in Berita Semasa by

Kebakaran rumah turut memusnahkan tiga buah kereta di Jalan Sanglang Kodiang, Kampung Pida 4, Jitra pada Sabtu. – Foto ihsan JBPM Kedah

JITRA – Sebuah rumah setingkat dan lima kenderaan termasuk tiga kereta hangus dalam satu kebakaran di Jalan Sanglang Kodiang, Kampung Pida 4, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karuddin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah melalui talian MERS kira-kira jam 12.38 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jitra dan BBP Arau bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas C berkeluasan 30×30 kaki dengan kemusnahan akibat kebakaran hampir 90 peratus.

“Kebakaran turut melibatkan tiga kereta serta dua motosikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, anggota bomba melakukan operasi pemadaman kebakaran menggunakan pancutan air dari jentera dengan dibantu BBP Arau serta pasukan bomba sukarela.

Menurut Bustan, operasi berkenaan turut dibantu Tenaga Nasional Berhad.

“Operasi terkawal pada jam 1.15 tengah hari dan kerja-kerja overhaul sedang dilakukan di lokasi kejadian,” katanya.

.