14 ditahan jalankan kegiatan judi di Kedah

in Edisi by

Beberapa siri serbuan dan tangkapan telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah di seluruh Kontinjen Kedah. Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Polis Kedah menahan 14 individu dalam usaha membanteras aktiviti perjudian di negeri ini selepas kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mulai 1 Januari 2023.

Menerusi perkongsian di Facebook Polis Kedah, beberapa siri serbuan dan tangkapan telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah di seluruh Kontinjen Kedah.

Menurutnya, serbuan dan tangkapan itu dilakukan dengan menyasarkan premis dan individu yang giat menjalankan kegiatan judi dalam talian dan judi loteri awam tanpa lesen.

“Dalam serbuan yang telah dijalankan di beberapa premis, seramai 14 individu terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita telah ditangkap kerana disyaki telah menjalankan aktiviti judi atas talian dan penjualan loteri awam tanpa lesen.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya.

Perkongsian Facebook Polis Kedah turut mendapat perhatian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berterima kasih atas usaha dilakukan Polis Kedah tersebut.

Muhammad Sanusi meminta orang awam yang memiliki maklumat tentang aktiviti perjudian di negeri ini untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kedah diarah untuk memantau dan memastikan semua premis perjudian dan loteri di negeri ini mematuhi arahan penutupan sepenuhnya bermula 1 Januari 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua lesen premis tersebut tidak lagi diperbaharui dan tamat tempoh pada 31 Disember 2022.