Anwar selamat tiba di Jakarta

in Nasional by

Anwar bersama Wan Azizah tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Indonesia pada Ahad. – Foto Bernama

JAKARTA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada jam 1.57 petang (waktu tempatan) sempena lawatan rasmi pertama ke luar negara selama dua hari di Indonesia bermula Ahad.

Beliau yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudian dibawa ke Grand Hyatt Hotel di sini bagi menghadiri mesyuarat bersama delegasi Malaysia.

Turut menyambut ketibaan Anwar adalah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Pada jam 5 petang, Anwar bakal menyaksikan majlis memeterai lapan memorandum persefahaman (MoU) antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia di lokasi sama sebelum menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di kedutaan negara di Jakarta.

Acara kemuncak lawatan sulung Anwar ke luar negara itu dijadual berlangsung pada Isnin jam 10 pagi dalam majlis sambutan rasmi di Istana Bogor bagi pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Anwar meneruskan tradisi bertemu rakan sejawat di Indonesia untuk lawatan rasmi pertama ke luar negara bagi membincangkan beberapa agenda penting ke arah mempertingkatkan hubungan dua hala.

Jokowi juga merupakan ketua negara terawal mengucapkan tahniah kepada Anwar selepas dilantik menerajui kepimpinan baharu negara pada 24 November lalu.