Dua penuntut UiTM maut, motosikal rempuh tiang TM

in Berita Semasa by

Keadaan motosikal mangsa yang melanggar tiang TM dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Kundur- Pilin pada Ahad.Tiang TM terbalik dan melintang di atas jalan akibat kejadian itu.

REMBAU – Dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau maut, manakala seorang cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan di Kilometer 2, Jalan Kundur- Pilin di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Muhammad Adib Roszaidi, 21, dan Muhammad Aiman Roslee, 21, maut, manakala Muhammad Faiz Ilham Abdul Jalal, 21, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan ke arah Pilin.

“Siasatan awal mendapati mangsa pertama (Muhammad Adib) yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Kundur menghala ke Pilin.

“Namun sebaik sampai di lokasi kejadian, motosikalnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar tiang TM (Telekom Malaysia) menyebabkannya jatuh dan melintang di atas jalan,” katanya dalam kenyataan kepada media pada Ahad.

**media[2050035]**

Menurutnya, Muhammad Aiman yang menunggang motosikal jenis Honda dan dibonceng Muhammad Faiz Ilham yang datang dari arah belakang dipercayai tidak sempat mengelak sebelum hilang kawalan dan terbabas di tempat kejadian.

Hazri berkata, kemalangan itu menyebabkan Muhammad Adib dan Muhammad Aiman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk tindakan lanjut dan Muhammad Faiz Ilham yang cedera parah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

“Ketiga-tiga mangsa adalah penuntut semester lima di UiTM Kampus Rembau di sini,” katanya.