Hajiji kekal KM Sabah, peroleh 44 sokongan

in Politik by

Hajiji bergambar bersama ADUN GRS, PH Sabah dan sebahagian ADUN BN Sabah selepas pertemuan diadakan di kediaman rasminya di Sri Gaya Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – [DIKEMAS KINI] Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan beliau menerima 44 sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kerajaan yang dipimpinnya kini masih dalam keadaan kukuh dan beliau akan terus mentadbir Sabah.

“Kita mempunyai sokongan majoriti daripada 44 wakil rakyat, ADUN kita di DUN. Ini bermakna bahawa kerajaan yang ada ini, yang saya pimpin ini masih lagi utuh dan kuat dan akan terus mentadbir negeri Sabah.

“(Sokongan dari) semua daripada wakil-wakil rakyat, yang saya boleh nyatakan di sini termasuk wakil rakyat PH dan juga daripada UMNO-BN dan GRS,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan beliau dengan ADUN GRS, PH Sabah dan BN Sabah di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya pada Ahad.

Ditanya mengenai surat Akuan Bersumpah (SD), beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan bahawa ia sudah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin di Istana Seri Kinabalu pada Sabtu.

“Kita sudah bagi kelmarin (SD), itu (pertemuan di istana),” katanya.

Sebelum itu, ditanya mengenai rombakan Kabinet, beliau berkata, ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Insya-ALLAH, kita akan buat rombakan Kabinet dalam masa terdekat,” katanya.

Susulan kenyataan itu, sekaligus menamatkan kemelut politik yang berlaku di Sabah.

Pergolakan politik berlaku apabila Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah pada Jumaat lalu.

Sebelum itu, Hajiji telah mengadakan pertemuan dengan ADUN GRS, tujuh ADUN PH Sabah dan lima ADUN BN Sabah dan pertemuan itu berlangsung lebih sejam di kediaman rasmi Sri Gaya.

Antara yang dilihat hadir di pekarangan Sri Gaya ialah ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan, ADUN Dilantik Dr Aliakbar Gulasan, Datuk Seri Yong Teck Lee; ADUN Api-API, Datuk Christina Lew dan ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.