KPM pandang serius isu keciciran, rangka pelan pemulihan

in Nasional by

Fadhlina (enam dari kiri) memegang kain rentang mengenai Pasar Percuma 2023 Parlimen Nibong Tebal pada Ahad.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu keciciran pelajar sekolah dalam sistem pendidikan nasional di seluruh negara.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, susulan itu KPM sedang merangka pelan pemulihan dalam menangani masalah tersebut.

Fadhlina berkata, pihaknya mengalu-alukan maklum balas dan data-data daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan kajian tentang keciciran pelajar sekolah.

“Isu ini dalam perhatian kita dan kita sedang mendapatkan maklum balas daripada semua termasuk NGO. Jika NGO itu mendakwa ada 100,000 pelajar tercicir, kita minta dia datang kepada KPM, bawa bersama data yang dia ada, buat intervensi bersama KPM.

“Ini kerana, kita nak lihat program-program yang sudah kita lakukan sebelum ini sama ada efektif atau tidak. Kita memandang serius isu ini dan sedang mengumpul data dan maklumat lengkap,” katanya pada sidang akhbar berhubung Pasar Percuma 2023 Parlimen Nibong Tebal di sini pada Ahad.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, setakat ini, KPM belum mempunyai data lengkap dan masih dalam proses mengumpul input-input untuk merangka pelan tersebut.

“Isu ini penting malah daripada awal lagi KPM dalam tujuh teras yang dibentangkan antaranya menangani isu keciciran pelajar,” katanya.

Sebelum ini, NGO yang dikenali sebagai Untuk Malaysia menyarankan KPM merangka satu pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional.

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, Zul Fikri Zamir berkata, kajian di lapangan mendapati hampir 100,000 pelajar dianggap tercicir daripada sistem pendidikan dan ia realiti yang amat membimbangkan.

Katanya, penutupan sesi persekolahan selama 42 minggu akibat pandemik Covid-19 sebelum ini juga antara punca keciciran.

Lebih membimbangkan ujarnya, kesan jangka masa panjang terhadap kualiti hidup golongan pelajar tercicir berkenaan.