Lebih 60 penerbangan terpaksa dibatalkan di Jepun

in Global by

Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di wilayah Aichi, Jepun. – Foto 123RF

TOKYO – Lebih 60 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di wilayah Aichi, Jepun susulan insiden pesawat Jetstar melakukan pendaratan cemas berikutan ancaman bom, lapor media Jepun.

Pesawat itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dekat Tokyo menuju ke Fukuoka yang terletak di Pulau Kyushu Jepun, ketika terpaksa melakukan pendaratan cemas pada Sabtu pagi.

Nippon TV melaporkan, sebanyak 63 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang itu manakala empat lagi pesawat terpaksa menukar destinasi, lapor Sputnik.

Ketika kejadian seramai 136 penumpang dan enam anak kapal berada di dalam pesawat.

Akhbar NHK yang memetik polis melaporkan bahawa seramai lima orang cedera semasa proses mengeluarkan penumpang.

Pemeriksaan sudah dijalankan terutamanya di tempat penyimpanan kargo, namun tidak menemukan sebarang bahan letupan.

Berikutan pendaratan cemas itu landasan di lapangan terbang ditutup kira-kira empat jam setengah. – Bernama