Lelaki samun kedai emas guna pistol mainan diberkas

in Berita Semasa by

Gambar hiasan – Foto 123RF

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditahan selepas menyamun sebuah kedai emas di kawasan Bandar Baru Permas Jaya di sini dengan bersenjatakan pistol mainan pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 47 tahun ditahan di kawasan Masai pada 3 petang Khamis.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 2.32 petang, lelaki terbabit telah masuk ke dalam kedai emas tersebut sebelum melakukan samun menggunakan pistol mainan.

“Susulan itu, seorang wanita tempatan berusia 19 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada hari yang sama, jam 5.35 petang.

“Bertindak atas maklumat pada jam 3 petang Khamis, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan berjaya menahan suspek,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, menerusi serbuan itu pihak polis merampas sebuah kereta Proton Saga, satu telefon bimbit, satu unit objek menyerupai kepala naga warna kuning, dua utas rantai tidak sempurna warna kekuningan, lima ketulan emas dipercayai rantai emas yang dipotong dan beberapa resit.

Tambah beliau, hasil semakan suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 14 tahun dan denda atau sebatan.

“Kes tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum sebat selain daripada apa-apa seksaan yang boleh dikenakan di bawah mana-mana seksyen kanun keseksaan yang lain,” katanya.

Raub juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.