Penerokaan Kledang Saiong: PHM minta Anwar campur tangan

in Edisi by

PHM membantah sekeras-kerasnya rancangan projek ladang kayu hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong. Gambar kecil: Zabri

IPOH – Parti Hijau Malaysia (PHM) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun campur tangan berhubung dakwaan rancangan projek ladang kayu hutan dalam kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong, di sini.

Presidennya, Zabri Mokhtar berkata, langkah segera perlu diambil kerana dibimbangi projek di kawasan seluas 4,280 hektar itu memberi impak besar terhadap ekosistem alam sekitar khususnya di kawasan jajaran Ipoh-Kuala Kangsar.

Menurutnya, pembersihan hutan dilakukan di kawasan itu juga bakal menyebabkan kehilangan tadahan hujan tropika selain merupakan habitat perayauan bagi beberapa jenis hidupan liar yang dilindungi dan terancam.

“Projek yang berskala besar ini juga bakal menjejaskan kehidupan harian, sumber air dan punca pendapatan kira-kira 200 masyarakat orang asli Bukit Chermin yang terletak 200 meter dari kawasan projek.

“Jadi PHM menggesa agar Perdana Menteri atas kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen Tambun untuk masuk campur menolak projek ladang kayu hutan ini demi menjaga alam sekitar di negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, PHM membantah sekeras-kerasnya rancangan kerajaan Perak untuk melaksanakan projek ladang kayu hutan berkenaan.

Katanya, berdasarkan carian mereka di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PHM berpandangan berlaku keraguan terhadap pelaksanaan projek itu.

“Kami menerima maklumat, kawasan itu pada asalnya adalah bagi projek penanaman buluh, tetapi sekarang berubah kepada penamaan pokok kayu hutan secara besar-besaran,” katanya yang memaklumkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat merancang untuk menghantar memorandum berkaitan perkara itu kepada pihak Istana.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan sebahagian besar keadaan Hutan Simpan Kledang Saiong dijangka berubah apabila rancangan ladang kayu hutan akan bermula pada tahun ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 28 Disember tahun lalu mengumumkan sedang menyemak laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek itu, yang dibuka untuk tatapan umum sehingga 26 Januari.

Menurut laporan EIA, projek itu bertujuan menanam hasil hutan dalam bentuk kayu – dengan eucalyptus, khaya dan kelampayan menjadi pilihan utama.