Pesawah hidup serba mewah ditahan edar dadah

in Berita Semasa by

Suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Besut di rumahnya.

JERTIH – Rahsia kehidupan mewah seorang pesawah dekat Kampung Pasir Akar di sini terbongkar apabila dia ditahan polis pada Rabu lepas kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, duda berusia 36 tahun itu didakwa mengamalkan gaya hidup mewah antaranya tinggal di rumah banglo selain memiliki sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan kereta Perodua Alza.

Katanya, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Besut di rumahnya kira-kira jam 5.30 petang.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek menemukan lima paket plastik lutsinar di dalamnya berisi daun mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 4.9 kilogram yang bernilai RM12,500.

“Selain itu, polis juga menyita dua motosikal dan wang tunai RM11,450 menjadikan nilai keseluruhan rampasan ialah RM193,450,” katanya dalam sidang media di IPD Besut di Kampung Raja, di sini pada Ahad.

Abdul Rozak berkata, pemilikan aset berkenaan dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah oleh suspek di sekitar daerah Besut.

“Saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan juga tidak memiliki rekod lampau. Dia ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis lepas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan bersalah,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang buruh berusia 38 tahun yang mempunyai 12 rekod kesalahan dadah dan tiga rekod jenayah lampau ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Nyireh di sini, pada 11.30 pagi Jumaat lepas.

Abdul Rozak berkata, polis merampas 319 pil dan satu paket serbuk warna merah dipercayai dadah jenis pil kuda dan kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB. – Bernama