PH, BN belum bincang kerjasama hadapi PRN – Anthony

in Politik by

Anthony semasa sidang akhbar selepas hadir pada majlis Pertandingan Bakat Muda Negeri Sembilan di sebuah pasar raya, di sini pada Ahad.

SEREMBAN – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menolak dakwaan Pakatan Harapan (PH) sukar membuat keputusan soal kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

Menurutnya, soal perbincangan politik antara kedua-duanya akan dibincangkan secara serius apabila tiba waktunya nanti.

“Sampai masanya keputusan akan dibuat. Memang ada prosesnya untuk kita berbincang dan berunding.

“Namun setakat ini kita beri fokus kepada pentadbiran kerajaan kerana ia baharu ditubuhkan sebulan lebih dan setakat ini ia berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas hadir pada majlis Pertandingan Bakat Muda Negeri Sembilan di sebuah pasar raya, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, tempoh beberapa bulan sebelum PRN diadakan mencukupi buat mereka untuk mengadakan rundingan ditambah pula masing-masing sudah mempunyai pengalaman.

“Kadang-kala ia bukan soal sukar. Tapi dalam politik ini, masa itu yang penting dan bila waktunya nak buat keputusan ia terpulang kepada pertimbangan politik masing-masing.

“Lagi pun kita sudah tubuh kerajaan dan duduk dalam satu kabinet. Jika kata ia sukar, dalam tempoh lima hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kita sudah selesaikan rundingan dan telah menubuhkan kerajaan dengan Perdana Menteri mengangkat sumpah pada 24 November lalu,” katanya.

Jelasnya, tidak timbul soal tidak cukup masa untuk mengadakan rundingan dan sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sekali pun masih ada masa selagi belum diadakan pilihan raya.

Anthony berkata, terpulang kepada pihak lawan untuk membuat tanggapan berkenaan soal hubungan PH dan BN pada PRN.

“Mereka sekarang sibuk berpolitik. Bagi kita, kita sibuk nak sampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.