Ujian getir Harimau Malaya di Bangkok

in Sukan by

Ruventhiran dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF pada Sabtu. Foto Bernama

CABARAN sukar menanti Harimau Malaya di Bangkok apabila berdepan Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 pada Selasa ini.

Pemain pertahanan, V Ruventhiran berkata, bukan mudah untuk menahan asakan skuad Gajah Perang terutama apabila beraksi di gelanggang lawan di Stadium Thammasat nanti.

Bagaimanapun, pemain baharu Selangor FC itu optimis percaturan jurulatih Kim Pan-gon bagi mengekang gerakan berbahaya pasukan lawan.

“Perjuangan belum selesai kerana masih terdapat satu lagi aksi dan kami perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kami layak ke final. Kami pernah menang menerusi penalti menentang Thailand di Piala Raja Thai (September lalu).

“Saya tidak bermain ketika itu dan ia memberikan saya semangat kerana masih mendapat kepercayaan dari barisan kejurulatihan,” katanya yang dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Pada aksi itu, gol tunggal Faisal Halim membantu Malaysia mencatat kemenangan 1-0 ke atas Thailand.

Mengulas perlawanan tersebut yang menyaksikan Malaysia dipaksa ‘berkampung’ di kawasan sendiri, Ruventhiran berkata, ia sesuatu yang mencabar, namun berjalan lancar seperti yang diarahkan jurulatih.

“Memang sukar untuk bertahan ketika berdepan Thailand dan semuanya berjalan mengikut apa yang dikehendaki oleh barisan kejurulatihan yang banyak memberikan kata-kata semangat,” katanya.

Pemain berusia 22 tahun itu turut menghargai barisan kejurulatihan yang memberi peluang kepadanya untuk beraksi di pentas besar tersebut.

“Terima kasih kepada jurulatih kerana beri saya peluang bermain dalam perlawanan yang besar ini,” katanya.