Abdul Hadi dakwa kerajaan pusat sulitkan negeri ditadbir Pas

in Politik by

Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa pentadbiran negeri yang dipimpin parti itu mengalami kesukaran apabila dihalang dengan pelbagai cara dan penentangan sama ada secara nyata mahupun tersembunyi.

Menurut beliau, walaupun Pas mentadbir dengan kuasa yang sangat terbatas dan tindakan kerajaan persekutuan itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi diamalkan di negara Barat yang menjadi rujukan mereka.

“Negeri (ditadbir Pas) tetap disusahkan dengan berbagai-bagai cara, halangan dan penentangannya yang nyata dan tersembunyi,” katanya menerusi ruangan Minda Presiden di Facebook rasminya, pada Isnin.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, tidak menghairankan apabila berlaku penubuhan kerajaan di luar tabii demokrasi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun Pas berjaya mendapat jumlah kerusi terbesar.

Katanya, Pas sudah berusaha bersama dalam PN yang disertai pelbagai parti yang tidak ekstrem untuk menubuhkan kerajaan campuran mengikut prosesnya tanpa Pas menjadi pemimpin utama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas tidak hairan dengan tindakan parti politik yang menentang Islam seperti DAP yang kini bertukar nada dengan tidak bersuara secara terang-terangan.

“Ini kerana parti itu kini berjaya mengadakan pasukan baharu daripada kalangan rakan berwajah Islam yang berwalikannya.

“Mereka itu laksana kayu bersama mata kapak bagi menebang pokok besar, mengambil pendekatan menipu dengan segala cara seperti melaksanakan amar ma’ruf secara terpilih dan menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata,” katanya.

Abdul Hadi berkata, parti politik berkenaan juga kini bergabung dengan kumpulan liberal daripada segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan media, tanpa batas akhlak dan halal haram.

“Semua itu dilakukan demi mencukupkan jumlah sokongan yang dapat menghalang pengaruh Islam dalam kerajaan, walaupun mereka berlindung sementara waktu sebalik Islam dalam perlembagaan mengikut tafsiran salah oleh mereka yang buta al-Quran.

“Gabungan itu juga turut diikut serta kluster mahkamah dan mereka yang sedang menunggu perbicaraan kerana kes rasuah berskala besar, termasuklah kesalahan lain yang bersedia dengan umpan untuk diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, sikap permusuhan terhadap Islam terus membara sejak zaman awal sehingga zaman penjajahan dan ia berterusan sehingga kini.

“Sikap permusuhan terhadap Islam bukan kerana mencari kebenaran dan menegakkan keadilan, tetapi disebabkan hasad dengki walaupun ternyata salahnya.

“Sehinggakan timbulnya fanatik perkauman yang mencipta berbagai-bagai ideologi bersama fanatik nasionalisme, cauvinisme, sama ada kiri atau kanan,” katanya.

Beliau menegaskan orang Islam ketika mereka kuat dengan berkuasa, tidak pernah sekali-kali berdendam apabila mendapat kemenangan.

Sebaliknya, katanya, mereka tetap bersikap pemaaf, bersabar dan membawa konsep tiada paksaan dalam beragama serta adil kepada semua termasuklah bersedia menerima sesiapa saja dalam masyarakat majmuk.

“Namun, (pemerintah bukan Islam) mereka terus bermusuh dan melancarkan serangan yang bertubi-tubi terhadap Islam dan penganutnya dengan segala persenjataan dan bala tenteranya yang ganas dengan membunuh dan membakar hangus segala yang melintasinya.

“Sehinggakan, mereka berjaya menjajah tanah air umat Islam ketika dalam keadaan lemah, bahkan membahagikan tanah air dan rakyatnya sesama negara penjajah bagi memperhambakan rakyat penganut Islam serta merompak hasil kekayaan buminya.

“Apabila mereka gagal menghapuskan Islam secara gerakan murtad dengan menukar agamanya kepada apa sahaja asalkan bukan Islam, lalu mereka mengubah caranya dengan melakukan serangan pemikiran dan kefahaman yang salah terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ada negara Islam yang diizinkan mengamalkan demokrasi, namun negara itu tetap diharamkan Islam daripada berkuasa mengambil alih kerajaannya.