Banjir: Berjuta kanak-kanak Pakistan diancam penyakit, kematian

in Global by

Sebahagian penduduk yang masih tiada tempat tinggal menunggu giliran untuk mendapatkan bekalan bantuan yang diagihkan badan amal.

ISLAMABAD – Berjuta-juta kanak-kanak di Pakistan berdepan risiko penyakit berjangkit dan kematian akibat banjir melanda negara itu, menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin.

Sekurang-kurangnya 1,739 orang terbunuh termasuk 647 kanak-kanak akibat musim tengkujuh yang melanda Pakistan pada pertengahan Jun hingga Oktober, menurut statistik kerajaan.

Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin mendedahkan lebih 4 juta kanak-kanak masih tinggal berhampiran air tercemar dan bertakung manakala 10 juta orang memerlukan bantuan segera demi menyelamatkan nyawa menjelang musim sejuk, lapor UPI.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyatakan bahawa negara itu memerlukan sokongan kewangan besar-besaran daripada masyarakat antarabangsa selepas berkunjung ke Pakistan pada September.

Antara Julai dan Disember, PBB mengenal pasti bilangan kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan meningkat dua kali ganda di kawasan dilanda banjir berbanding setahun sebelumnya.

Jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak di kawasan terbabit juga turut bertambah.

Kekurangan zat makanan yang teruk, penyakit pernafasan dan bawaan air ditambah dengan selesema menyebabkan berjuta-juta nyawa diancam bahaya, kata Abdullah Fadil, wakil UNICEF di Pakistan menerusi satu kenyataan.

UNICEF memaklumkan pihaknya hanya menerima 37 peratus daripada AS$173.5 juta untuk bantuan menyelamatkan nyawa wanita dan kanak-kanak di Pakistan.

Kita mesti melakukan segala-galanya untuk memastikan kanak-kanak perempuan dan lelaki di Pakistan dapat pulih sepenuhnya daripada bencana alam dan melindungi mereka daripada bencana seterusnya, kata Fadil. – Bernama.