Banjir: Warga polis Terengganu rugi hampir RM1 juta

in Edisi Terengganu by

Situasi banjir di Terengganu. – Foto Bernama.

JERTIH – Seramai 154 pegawai, anggota serta kakitangan awam Polis Kontinjen Terengganu terjejas akibat banjir Disember lepas membabitkan kerugian keseluruhan mencecah RM1 juta, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa.

Beliau berkata, daripada jumlah itu anggota dan kakitangan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut mencatatkan bilangan tertinggi iaitu seramai 93 orang.

“Ia membabitkan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan kediaman dinaiki air,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada 200 pelajar terjejas akibat banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat di sini, hari ini.

Bantuan tersebut membabitkan murid-murid dari SK Pusat, SK Lubuk Kawah dan SK Alor Keladi di daerah Besut.

Beliau berkata selain menyerahkan sumbangan kepada pelajar di sekolah terbabit, bantuan turut diagihkan kepada kalangan keluarga polis yang terbabit.

Dalam pada itu katanya empat pondok dan balai polis di beberapa daerah di negeri ini terjejas akibat banjir yang melanda pada 18 Disember lepas sehingga menyebabkan lebih 40,000 mangsa banjir di seluruh Terengganu berpindah dan ditempatkan di PPS.

Menurutnya balai terlibat ialah Balai Polis Kuala Jengai di Dungun, Balai Polis Manir dan Pondok Polis Tenang, Hulu Besut serta Balai Polis Trafik di Jertih. – Bernama.