Cadangan pinda dua akta kanak-kanak

in Nasional by

Azalina (dua dari kiri) menghadiri libat urus bersama pihak berkepentingan.

PUTRAJAYA – Cadangan pindaan terhadap dua akta kanak-kanak adalah bagi memastikan keberkesanan sistem pengadilan jenayah dalam mengendalikan kes kesalahan seksual yang melibatkan golongan itu.

Pejabat Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi kenyataannya memaklumkan, pindaan tersebut melibatkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676).

“Satu libat urus telah diadakan bersama pihak-pihak berkepentingan bagi mendapatkan cadangan, pandangan dan maklum balas berkaitan cadangan pindaan terhadap akta tersebut,” kata pejabat itu pada Isnin.

Menurut pejabat Azalina, antara isu yang telah dibincangkan dalam sesi libat urus yang diadakan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia itu adalah cabaran dihadapi semasa siasatan, proses pendakwaan, perbicaraan dan pasca perbicaraan bagi kes jenayah yang melibatkan mangsa dan saksi kanak-kanak.

“Peruntukan undang-undang yang baharu untuk membendung eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak, pembayaran pampasan oleh tertuduh kepada mangsa, bantuan pemulihan untuk mangsa dan saksi kanak-kanak serta memperkasakan perkhidmatan pendamping guaman (legal companion) yang sedia ada turut dibincangkan selain keperluan menambah baik fasiliti sedia ada di mahkamah,” ujar pejabat itu.

Menurut kenyataan itu, kerajaan juga komited dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai suatu badan bebas yang dapat memantau dan memelihara hak kanak-kanak di Malaysia.

“Namun, penubuhan suruhanjaya ini memerlukan pandangan pelbagai pemegang taruh dan juga penggubalan suatu akta.

“Sebagai penyelesaian jangka masa pendek, kerajaan berhasrat untuk mewujudkan pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam),” katanya